Siti Nurhaliza - Koleksi Peribadi Zuely

By: Peminat Siti Nurhaliza

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Sunday, 3-Sep-2006 14:43 Email | Share | Bookmark
Siti & Elegance Club

 
 
 
 
 
Keluarga Siti sambut menantu
01-09-2006 10:17:29 PM
Oleh ZIEMAN



Jika persandingan Datin Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohd Jiwa pada 28 Ogos di Kuala Lumpur Convention Centre ibarat satu pesta filem, majlis menyambut menantu pada hari minggu ini di kampung kelahiran Siti di Kuala Lipis pula bagaikan satu "pilihanraya" sedang berlangsung.

Hampir merata tempat di Dataran Lipis, di mana majlis gilang gemilang itu akan diadakan telah dihiasi dan dipenuhi dengan poster pernikahan Siti dan Datuk K. Kemeriahan suasana di daerah Lipis seperti hendak menyambut perkahwinan seorang puteri raja.

Ketika ditemui di Elegance Club yang terletak di Bangsar Shopping Centre untuk mencuba tiara dan perhiasan barang kemas yang akan dipakainya pada hari bersejarah itu, Siti berkata upacara berkhatam Quran akan diadakan pada sebelah pagi Ahad di rumah keluarganya.

"InsyaAllah Siti akan khatam Quran pada sebelah pagi. Mak Siti juga nak adakan majlis cukur jambul anak Kak Ida," kata penyanyi yang baru seminggu lebih bergelar isteri orang ini. Siti akan mengenakan pakaian 'off white' rekaan Natrah Hisham dari Embun Timeless Tradition untuk majlis khatam Quran.

Untuk majlis hari minggu ini yang memang dikhaskan untuk semua peminatnya, Siti akan mengenakan busana yang direka khas oleh pereka Indonesia Anna Avanti berwarna fuschia keemasan yang diperbuat dari lace dan songket. Anna juga telah mereka khas samping untuk dipakai Datuk K sementara baju Melayu pula telah disiapkan oleh Radzuan Radzwill.

Menurut Pengarah Urusan Elegance Club, Tracy Ong, Siti akan memakai barang kemas yang diperbuat dari berlian putih dan kuning.

"Untuk tiaranya sahaja yang bermotifkan bunga kerawang bernilai hampir 1 juta. Semua barang perhiasan telah direka khas untuk Siti kerana dia mempunyai citarasanya sendiri," ujar Tracy.

Bagi Siti, dia rasa begitu lega kerana hampir semua yang dirancangkan sudah selamat terlaksana.

"Selepas majlis di Kuala Lipis nanti, hanya ada dua tugas lagi yang perlu Siti lakukan sebelum Siti berehat. Mungkin selepas kembali dari lawatan kerja ke Jakarta anjuran P&G," ujar penyanyi yang berusia 27 tahun ini.

Siti agak malu untuk menyatakan yang dia sebenarnya akan berbulan madu keluar negara.

"Tak tahu lagi, semua abang yang uruskan…," ujarnya yang akan turut menunaikan umrah bersama suami pada bulan Ramadhan nanti.

Bagi Siti, aktiviti seninya akan berjalan seperti biasa hanya "tidak serancak dulu lagi."

"Sebagai isteri semua ada batasan. Siti akan beri komitmen kepada rumahtangga dulu barulah karier seni. Namun segala urusan akan tetap dilakukan oleh Siti Nurhaliza Production," kata Siti yang tetap jelita walaupun dengan solekan yang nipis.

Ditanya bagaimana perasaannya setelah bergelar isteri kepada seorang tokoh korporat, Siti berkata, "Siti masih cuba menyesuaikan diri. Datuk Khalid melayan Siti dengan baik. Semua keputusan yang Siti buat sekarang kena rujuk dengan Datuk Khalid dulu. Apa yang menggembirakan dia, itu yang Siti akan buat," jelasnya lagi.

Namun, Siti berkata dia agak sedih membaca perkara yang negatif tentang diri mereka berdua. Suaminya juga lebih suka bersifat "low profile" dan terus berubah menjadi seorang yang pemalu apabila terlalu banyak berita negatif yang dispekulasikan oleh pihak media sejak kebelakangan ini.

"Kesian dia…dia tidak biasa. Datuk K lebih suka low profile, tidak mahu lagi ceritanya ditulis kerana dia berniaga. Bidang dia lain…," kata Siti.

Ditanya tentang "perang rating" antara majlis persandingannya dan rancangan Astro-RTM yang menampilkan Mawi dan Ina pada masa yang sama, Siti berkata dia tidak tertekan dengan isu itu.

"Siti hanya sekadar berkongsi majlis Siti itu dengan peminat yang tidak dapat hadir," katanya.

Berbalik pada persiapan di majlis menyambut menantu nanti, Siti berkata dia tidak begitu arif tentang persiapan di majlis itu kerana segalanya telah diserahkan kepada keluarganya.

"Ada persembahan berunsur tradisional selama satu jam lebih dan semuanya dilakukan oleh Pak Ngah Production dan acara nyanyian juga akan dikendalikan oleh saudara mara dan dua tiga orang penyanyi," katanya.

Antara penyanyi jemputan ialah Datuk Ahmad Jais. Siti sendiri akan mengalunkan suara merdunya di dalam dua buah lagu Dealova dan Joget Pahang bagi memeriahkan lagi majlis itu.

Difahamkan, sebanyak 16 ekor lembu akan dikorbankan dan dikendalikan oleh enam pasukan sementara khidmat Kuzi Catering milik bapa saudara Kak Engku (Raja Azura) juga telah diundang untuk menyediakan makanan bagi pihak VIP di majlis itu nanti.

Jumlah tempat letak kereta dikatakan tidak mencukupi untuk menampung kehadiran orang ramai tambahan pula kali ini jumlah pengguna kenderaan juga amat tinggi.

Dianggarkan lebih 200 anggota polis akan bertugas mengawal trafik sepanjang majlis berlangsung.

Bagi mengatasi kesesakan, aliran trafik akan diubah bagi mengelak kesesakan terutama di kawasan Dataran Lipis tempat majlis itu berlangsung. Manakala jalan utama iaitu Jalan Bandar pula akan diubah menjadi jalan sehala membabitkan laluan bermula dari Balai Polis Daerah Lipis ke Pusat Bandar.

Pengguna jalan raya akan diarahkan meletak kereta di tujuh zon yang disediakan sementara anggota polis yang bertugas pula terdiri dari anggota polis pelbagai jabatan lain seperti narkotik, jenayah dan sukarelawan polis

Tujuh zon letak kereta yang disediakan bagi kemudahan orang ramai meletak kenderaan adalah di Centerpoint, Masjid Sultan Mahmud, Pejabat Daerah Lipis, Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, jalan ke Felda Kerchau dan padang Sekolah Menengah Clifford.

Tempat letak kenderaan bagi tetamu kenamaan atau VIP pula ialah berhampiran Dewan Residen manakala petugas sempena perkahwinan itu dibenarkan meletak kenderaan di Kelab Pahang.

Begitupun, kawasan tempat letak kereta yang disediakan masih tidak mencukupi untuk menampung lebih 6,000 peminat Siti dari seluruh negara yang dijangka membanjiri Lipis.





View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net