Want your
own Fotopage?







 
Siti Nurhaliza - Koleksi Peribadi Zuely

By: Peminat Siti Nurhaliza

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Tuesday, 18-Jul-2006 09:20 Email | Share | Bookmark
Kisah Siti di Harian Metro

 


Kagum kasih sayang, cinta sejati Datuk K

KUALA LUMPUR: “Salah satu sebab membuatkan saya tertarik dengan Datuk Khalid (Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K) yang saya boleh kongsi dengan anda semua ialah saya kagum dengan kasih sayang yang dicurahkan kepada anak-anaknya. Perkara lain, biarlah ia menjadi rahsia saya.

“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk menjadi ibu yang baik kepada anak-anak Datuk K dan berikan kasih sayang yang terbaik serta tidak ada beza buat mereka. Sebenarnya, Siti melihat perkahwinan bukan untuk diri kita seorang tetapi keluarga dan kekeluargaan itu penting.

“Dari awal lagi, Siti sudah berfikir masak-masak dengan keputusan ini. Bagi Siti, masyarakat juga mempunyai pandangan masing-masing dan saya hanya mampu dan berharap masa akan membuktikan dan menentukan segalanya.

“Apa yang saya harapkan, peminat mendoakan yang terbaik buat kami,” kata penyanyi tersohor Siti Nurhaliza, 27, pada sidang media pengumuman tarikh pertunangan, pernikahan dan persandingannya dengan usahawan Datuk K, 47, di Restoran Terracota, ZON On The Park di Jalan Ampang, di sini, semalam.

Pasangan berkenaan bakal disatukan dengan ikatan pertunangan dan akad nikah serentak pada Isnin, 21 Ogos bersamaan 27 Rejab 1427 sempena Israk dan Mikraj di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini khusus untuk kaum keluarga, saudara mara terdekat daripada kedua-dua pihak, sahabat handai dan media.

Majlis persandingan yang berkonsep ‘Garden Wedding’ akan berlangsung pada 28 Ogos bersamaan 4 Syaaban 1427 di Dewan Pameran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) untuk tetamu jemputan saja.

Pasangan pengantin itu turut diraikan pada majlis dihoskan pihak pengantin perempuan di Kuala Lipis, Pahang pada Ahad, 3 September depan.

Berikut sesi soal jawab bersama Siti dan Datuk K, pada sidang media semalam.

WARTAWAN: Berapa hantaran perkahwinan Siti?

SITI: Apa yang boleh saya katakan hari ini (semalam), saya bukan nak beritahu terlalu terperinci mengenai segala perkara, cuma nak beritahu perkara yang besar ini dulu. Mengenai hantaran, saya akan umumkan kemudian.

WARTAWAN: Di mana lokasi berbulan madu Siti?

SITI: Saya belum tetapkan lokasi berbulan madu. Apa yang penting persiapan tarikh pernikahan dan persandingan dan menjelaskan perkara besar ini kepada pihak wartawan dulu.

WARTAWAN: Kenapa Siti pilih untuk merahsiakan hubungan ini selama ini dan kenapa baru hari ini (semalam) nak umumkan?

SITI: Seperti yang saya beritahu, saya akan beritahu pada hari yang betul-betul saya rasakan sesuai. Bukan bermaksud saya ingin berahsia. Sampai bilapun saya tidak akan beritahu jika saya nak berahsia. Jadi yang sesuai masanya bila saya sudah berbincang bersama keluarga. Saya perlu berbincang dengan keluarga dulu dan hari inilah yang sesuai untuk saya umumkan dengan anda semua berada di sini. Setiap kali ditanya mengenai hubungan saya dengan Datuk K dulu, saya tidak pernah kata ya ataupun tidak.

WARTAWAN: Sejak bila hubungan Siti dengan Datuk K terjalin?

SITI: Kami mula rapat selepas saya pulang daripada konsert di Albert Hall, London. Kami rapat selepas saya pulang daripada menjayakan persembahan di sana. Tetapi sebelum itu, memang kami mengenali sebagai rakan bisnes dan pernah beberapa kali berjumpa. Seperti yang saya katakan di sini, kami rapat selepas konsert di Albert Hall dulu.

WARTAWAN: Siti bersedia untuk bergelar Datin?

SITI: Secara jujur dari hati nurani saya, bukan itu atau perkara yang saya cari tetapi saya mengenali Datuk K pada hati budinya dan kalau memang itu secara automatik berlaku kepada saya (gelaran Datin), saya akan cuba dan memilihnya bukan kerana untuk mendapat gelaran Datin itu. Saya cuba secara perlahan-lahan dan bukannya secara drastik.

WARTAWAN: Hubungan Siti dengan Datuk K mendapat reaksi berbeza dari peminat. Justeru, macam mana Siti menerima reaksi daripada peminat?

SITI: Dari awal lagi, bila saya mula berfikir dengan keputusan ini saya sedar, setiap anggota masyarakat mempunyai pandangan mereka masing-masing. Saya hanya mampu berdoa dan berharap supaya masa akan membuktikan dan menentukan segala-galanya.

WARTAWAN: Komen daripada reaksi peminat?

SITI: Tak apalah, saya rasa setiap orang mempunyai pandangan masing-masing, saya terima seadanya, tinggal lagi saya nak minta peminat doakan yang terbaik.

Lipis dijangka sesak

KUANTAN: Bandar Kuala Lipis dijangka `sesak’ dengan kehadiran orang ramai yang bakal menyaksikan majlis perkahwinan penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Taruddin dengan usahawan Datuk Khalid Mohd Jiwa (Datuk K) pada 3 September ini.
Malah, hotel di sekitar bandar ini pastinya akan ditempah lebih awal oleh orang ramai yang pastinya sanggup bermalam semata-mata untuk menyaksikan penyanyi itu.

Kuala Lipis berada sekitar tiga jam perjalanan dari Kuala Lumpur dan empat jam dari Kuantan melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Keluarga suka Siti

KUALA LUMPUR: “Saya sentiasa berdoa untuk kebahagiaan abang (Datuk Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K) dan keluarga kami. Itu saja. Siapapun pilihannya, saya akan merestui termasuk Siti Nurhaliza Taruddin.
“Semua orang tahu Siti macam mana? Kalau Siti sudi menjadi sebahagian daripada keluarga kami, kami lagi besar hati untuk menerimanya,” kata Zaini, adik bongsu Datuk K ketika ditemui selepas sidang media pengumuman pernikahan abangnya dengan Siti Nurhaliza di Restoran Terracotta, The ZON on The Park, Jalan Ampang, di sini, semalam.

Zaini yang turut ditemani dua anaknya berkata, dia tidak mengetahui detik percintaan abangnya dengan penyanyi popular terbabit, tetapi mengakui hubungan mereka intim selepas Konsert Siti di Royal Albert Hall, London, pada 1 April tahun lalu.

“Pada mulanya, kami sekeluarga tidak mengetahui detik percintaan kedua-dua mereka, tetapi perkara itu berlaku selepas Siti mengadakan konsert di Royal Albert Hall, London. Itupun beberapa bulan kemudian.

“Kami tidak mengesyaki apa-apa kerana pada mulanya hubungan Datuk K dengan Siti sekadar rakan perniagaan dan tidak lebih daripada itu, sehinggalah abang (Datuk K) memaklumkannya kepada ibu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai penerimaan keluarga terhadap pilihan abangnya itu, Zaini berkata, sikap Siti yang baik hati serta berbudi bahasa, menjadi tarikan kepada keluarganya untuk menerima dia seadanya.

“Bermula atas urusan perniagaan, hubungan Siti dan keluarga semakin rapat. Dia (Siti) hormat kepada keluarga kami dan kami pun hormat kepada keluarga Siti. Dengan lain kata, kami saling mengenali.

“Lagipun semua orang tahu Siti macam mana. Kita tahu siapa dia (Siti) yang kaya dengan budi pekerti, budi bahasa dan sikap orangnya yang begitu. Sebab itu semua ahli keluarga suka dia (Siti) menjadi sebahagian daripada keluarga,” katanya.

Sementara itu, Zaiton, kakak sulung Datuk K berkata, dia tidak mahu menyentuh mengenai hubungan adiknya dengan bekas isteri mahupun anak, sebaliknya menumpukan kepada majlis pernikahan.

“Ini baru pengumuman dan paling mustahak perkara ini diketahui umum, selain berdoa kebahagiaan Siti bersama adik (Datuk K),” katanya.

300 pengawal khas kawal KLCC

KUALA LUMPUR: Persandingan antara penyanyi nombor satu tanah air, Siti Nurhaliza, 27, dan Datuk Khalid Mohd Jiwa, 47, atau Datuk K, Ogos depan bakal diberi kawalan ketat membabitkan lebih 300 pengawal khas termasuk anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan Polis Trafik Kuala Lumpur.

Sumber dipercayai memberitahu Harian Metro, majlis persandingan gilang-gemilang itu yang diadakan pada 28 Ogos di Dewan Pameran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dikawal ketat berikutan ia dijangka dibanjiri ribuan peminat penyanyi berkenaan dari seluruh negara.

Difahamkan anggota polis daerah Dang Wangi dan Trafik Kuala Lumpur akan memainkan peranan utama dalam memastikan kelancaran majlis ketika pasangan pengantin terbabit dibawa menaiki kereta kuda ke KLCC.

Siti Nurhaliza bersama suami akan diarak selama sejam bermula jam 5 petang mengelilingi kawasan KLCC bagi membolehkan peminat penyanyi terbabit melihat pasangan itu dari dekat.

“Setakat ini pihak yang terbabit memastikan keselamatan pasangan pengantin itu adalah pengawal keselamatan dan khas KLCC, pengawal peribadi Datuk K dan Siti Nurhaliza serta pihak polis.

“Langkah keselamatan ini perlu diambil bagi memastikan majlis perkahwinan besar-besaran itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini,” katanya.

Malah, kehadiran polis akan dapat memastikan lalu lintas dan kesesakan trafik dapat diatasi berikutan banyak kenderaan dipercayai tertumpu ke kawasan terbabit.

Malah bagi memastikan segalanya terkawal, sebanyak 365 kamera litar tersembunyi (CCTV) yang dipasang di dalam dan luar KLCC atau digunakan sepenuhnya bagi memantau pergerakan keluar masuk.

“Sebarang tindak tanduk mencurigakan akan diambil tindakan segera,” katanya

Pantun bapa Siti Nurhaliza

KUALA LUMPUR: Serangkap pantun empat kerat yang dibacakan Tarudin Ismail, semalam, merungkai segala teka-teki hubungan anak perempuannya, Siti Nurhaliza, 27 dengan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, atau lebih dikenali sebagai Datuk K.

kerat itu membuktikan mereka sekeluarga merestui perhubungan penyanyi nombor satu negara itu dengan usahawan dan ahli korporat berjaya terbabit.

“Hari ini saya sebagai ayah Siti Nurhaliza dengan sukacita ingin mengumumkan bahawa saya merestui hubungan Datuk Khalid dan anak saya Siti Nurhaliza,” kata Tarudin pada sidang media di Restoran Terracotta, The ZON on The Park, Jalan Ampang, di sini, semalam.

Antara rangkap pantun yang menjadi simbolik restu keluarga Tarudin kepada Datuk K ialah “Berapa jauh rumah puteri, berteman dan berkereta, berapa susah melepaskan Siti, macam-macam tohmahan dan sengketa.”

Sementara itu, kakak sulung Datuk K, Zaiton yang mewakili keluarga mereka, membalas dua rangkap pantun kepada keluarga Taruddin dan petugas media, sekali gus turut mengenepikan spekulasi perhubungan adik lelakinya.

“Pahlawan Pahang berbadan sasa, tidak gentar walau sesiapa, Datuk Mat Kilau akan namanya, baik pekerti sopan berbahasa, di pihak kami seisi keluarga, ditentukan jodoh syukur kepadanya.

“Kembang mawar di waktu pagi, tumbuh subur di laman mami, peranan media disanjung tinggi, tidak terbalas keluarga kami,” katanya yang turut menghormati kehadiran wartawan kerana sabar menunggu pengumuman terbabit.

Konsep perkahwinan dalam taman

KUALA LUMPUR: Majlis perkahwinan penyanyi Siti Nurhaliza Tarudin, 27, dengan usahawan, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, 47, atau Datuk K akan berlangsung dalam suasana sederhana tetapi meriah.

Itulah ulasan Datuk Raja Rezza Shah dari Nusantara Gems Sdn Bhd yang dilantik Datuk K sebagai perunding perkahwinannya dengan Siti untuk majlis pernikahan mereka di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini, pada 21 Ogos dan persandingan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) 28 Ogos ini.

Katanya, konsep gubahan hantaran dan hiasan majlis pernikahan akan mengenengahkan elemen berunsur tradisional dengan penggunaan kain songket dan tekat.

“Majlis persandingan di KLCC pula berkonsepkan perkahwinan dalam taman menggunakan bunga segar. Bagaimanapun saya belum pasti bunga yang akan digunakan tetapi yakin tiada masalah mendapatkan bekalan bunga segar.

“Sudah tentu Siti mempunyai impian untuk majlis perkahwinannya. Saya baru dimaklumkan tarikh ini tiga hari lalu. Selepas ini saya akan berbincang dengan mereka,” katanya selepas sidang media pengumuman tarikh pertunangan, pernikahan dan persandingan Datuk K dengan Siti, semalam.

Empat anak restu pilihan pilihan

Oleh Hartati Hassan Basri, Ramlah Zainal, Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Sabran Md Sani
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Apa yang paling penting, papa gembira,” kata Mohd Ashraf, 14, anak kepada Datuk Khalid Mohamad Jiwa yang hadir pada sidang media bapanya bersama Siti Nurhaliza bagi mengumumkan tarikh pertunangan, pernikahan dan persandingan mereka, semalam.
Kehadiran Ashraf yang juga anak ketiga Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk K menunjukkan semua keempat-empat anaknya merestui pernikahan dengan penyanyi tersohor negara itu.

Ashraf yang hadir bersama ibu saudaranya, Zaini Mohamad Jiwa dan dua sepupunya, berkata dia merestui pilihan bapanya kerana apa yang penting, dia gembira.

“Saya minta jangan ada pihak cuba kucar-kacirkan suasana. Harap kenyataan saya juga tidak ditokok tambah,” kata Ashraf ketika ditemui selepas sidang media berkenaan di Hotel The Zon On The Park, Jalan Ampang di sini, semalam.

Ashraf turut mengakui pernah bertemu Siti ketika penyanyi itu berkunjung ke rumahnya.

Malah, dia meminati Siti sebagai penyanyi dan memanggilnya Kak Siti.

Siti, 27, turut mengakui antara faktor utama membuatkan dia tertarik dengan Khalid, 47, ialah kasih sayang beliau terhadap semua anaknya.

Dia berkata, biarlah keistimewaan yang ada pada bakal suaminya itu menjadi rahsia peribadinya tetapi apa yang ingin dikongsi bersama peminat ialah terharu melihat kasih sayang Khalid kepada anaknya.

Mengenai penerimaan empat anak Khalid yang berumur tujuh hingga 19 tahun, Siti berkata, dia akan cuba sebaik mungkin menjadi ibu kepada mereka. Anak Khalid yang lain ialah Mohd Anas, 19, Mohd Adib, 16, dan Mohd Azif, 7.

Siti juga mengatakan dia bersedia berhadapan dengan peminat yang mungkin tidak menyukai pilihan hatinya serta tuduhan dia merampas suami orang.

“Apabila menjadi artis, berhadapan dengan soalan, cabaran, spekulasi dan komen adalah perkara biasa. Saya sudah lalui semua itu.

“Dalam hal ini saya sudah fikir masak-masak. Saya juga sudah berdoa dan minta petunjuk. Kini saya sedia berkongsi berita ini dengan peminat,” katanya.

Ibu bapa Siti, Tarudin Ismail dan Siti Salmah Bachik turut hadir pada sidang media itu sebagai tanda restu mereka terhadap pilihan Siti.

Selain itu, ibu Khalid, Siti Zainab Hanafi bersama kakak dan adik perempuan Khalid, Zaiton dan Zaini turut hadir.

Sebelum Khalid dan Siti menjawab soalan wartawan, Tarudin mengatakan sebagai bapa, dia merestui perkahwinan Khalid dengan Siti.

Dia mengakhiri ucapan ringkasnya dengan pantun empat kerat antara lain mengatakan betapa susahnya mendapatkan Siti, macam-macam tohmahan dan sengketa.


View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2008.

ns4008229.ip-198-27-68.net